Tazkirah SRI Siri 3 - CINTA KEPADA ALLAH LEBIH INDAH BERBANDING CINTA KEPADA MANUSIA

Posted by dalila on 05/05/2014 Hits: 25845

CINTA KEPADA ALLAH LEBIH INDAH BERBANDING CINTA KEPADA MANUSIA

jatuh-cinta

Melihat kepada fenomena para pemuda pemudi dan juga manusia keseluruhannya, Kita dapat lihat berapa ramai dari kalangan manusia yang bercinta dan berkasih sayang atas platform untuk meraih cinta agung dari Allah S.W.T. Tidak dinafikan cinta yang hakiki hanya kepada Allah S.W.T dan juga Rasul-Nya  s.a.w. Kebiasaannya kalau seseorang mencintai Allah S.W.T dan Rasul-Nya s.a.w mengatasi segala-galanya ia akan dapat melahirkan kecintaan kepada yang lain dalam keadaan penuh dengan kasih sayang, dan akan berusaha untuk mengekalkan perasaan mahabahyang lebih sempurna kepada saudara-saudaranya yang lain.

cinta Allah

Perlu disedari bahawa hakikat cinta kepada manusia   hanyalah alat untuk manusia mendambakan cinta kepada Allah S.W.T. Cinta yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada kita adalah satu anugerah yang sangat berharga. Kita perlu menghargainya. Namun sedarlah bahawa cinta umpama hadiah, kita tentu gembira dan suka apabila menerima hadiah, namun, wajarkah hadiah lebih dicintai daripada pemberi hadiah? Jawapannya adalah tentulah pemberi hadiah lebih kita cintai berbanding hadiah itu. Ini bererti menyintai Allah S.W.T adalah segala-galanya.

Namun malangnya, dalam realiti kehidupan ini, cinta kepada manusia selalunya dinobatkan sebagai cinta utama dan ada yang keterlaluan dalam mengecapinya. Padahal cinta yang dipuja puji itu akhrinya suram setelah diuji dalam alam rumah tangga. Sementara belum dapat dipuja dan dipuji, tetapi setelah dapat segala kemanisannya hilang.

Cinta kepada makhluk adalah cinta yang kecil, namun ia akan menjadi besar dan bernilai apabila didasarkan kepada cinta Allah S.W.T. Cinta bukan dari mata turun ke hati, sebaliknya dari hati naik ke mata. Itulah cinta yang benar  suci lagi murni. Itulah cinta yang dikhususkan buat manusia yang beriman sesuai dengan martabatnya sebagai hamba ALLAH S.W.T dan khalifahnya dimuka bumi yang sementara ini.

 

Mudah-mudahan kita akan menanam azam yang jitu  agar diri kita menyintai seseorang atau pun saudara kita hanya satu tujuan sahaja iaitu untuk mendambakan cinta Ilahi, bukannya cinta pada manusia yang menjadi penyebab kepada terputus silaturrahim yang telah terjalin. Amin Ya Rabbal Alamin, Kullu amm wa Antum bikhair. wa barakallhu fi kum..

fire

MUTIARA KATA.

“Tanda cinta kepada Allah adalah cinta kepada Al-Quran. Tanda cintakan Al-Quran adalah cintakan Nabi s.a.w. Tanda cintakan Nabi s.a.w adalah cintakan Sunnahnya. Tanda cintakan sunnah Nabi s.a.w adalah cinta akhirat. Tanda cintakan akhirat adalah tidak mecintai diri sendiri. Tanda tidak mencintai diri sendiri adalah membenci dunia. Dan tanda membenci dunia adalah tidak mengambil daripada dunia melainkan kadar yang mencukupi untuk sara hidup.”

Disediakan oleh : Ust. Muhammad Islah bin Soleh