TAZKIRAH SRI – SIRI 6 - AHLAN WA SAHLAN YA RAMADAN
Ahlan wa sahlan Ramadan. Bergema ucapan alu-aluan daripada muslim yang rindu akan bulan pesta ibadah ini. Kesabaran menunggu selama ini yang kini menjelma di depan mata disambut dengan lafaz syukur serentak dengan sujud syukur. Alhamdulillah ya Allah! Engkau ketemukan aku lagi dengan bulan Ramadan , yang padanya ada sesuatu yang didamba kekasih-MU.
Rasulullah saw bersabda: “ jika bulan Ramadan tiba, pintu-pintu syurga dibuka , sedangkan pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Mungkin berkat syaitan yang dirantai, maka ramai manusia berwajah iman. Topeng keburukan ditinggalkan seketika. Apabila mereka berwajah iman sepanjang Ramadan, maka apa yang terjadi adalah ibadah mengejut.
TIBA-TIBA IBADAH DIGANDAKAN
TIBA-TIBA BANGUN QIAMULLAIL
TIBA-TIBA TAHAP KESABARAN MENINGKAT
TIBA-TIBA SEGALA YANG LALAI DITINGGALKAN
Tidak mengapa seandainya ibadah sepanjang bulan Ramadan dilakukan dengan mengejut. Tidak mengapa jika malaikat Raqib sibuk sedikit dan malaikat Atid pula tidak disibukkan untuk merekod amalan buruk seseorang . Alhamdulillah jika itu yang berlaku sepanjang Ramadan.
Namun, jangan ulangi kejutan berupa “TIBA-TIBA” itu seawal hari pertama syawal yang tiba.
TIBA-TIBA MAKAN BANYAK
TIBA-TIBA MENDEDAHKAN AURAT
TIBA-TIBA TERLUPA DI MANA AL-QURAN
TIBA-TIBA LALAI DARI MELAKUKAN AMALAN SUNAT YANG DAH BIASA DIBUAT PADA BULAN RAMADAN.
TIBA-TIBA KEMBALI LALAI SEMULA.
Apakah semua ini? Adakah ini suatu perbuatan balas dendam? Jangan la begitu wahai semua saudaraku yang dikasihi Allah. Jangan lah kita kembali leka apabila berlalunya Ramadan. Sesungguhnya jika selepas Ramadan amalan kita kembali semula kepada kejahatan maka sedarlah bahawa itu merupakan petanda amalan yang kita lakukan pada bulan Ramadan belum sempurna.
Disediakan oleh :
Ust. Mohamad Islah bin Soleh