Tazkirah SRI - Siri 7 (Tazkirah Ramadhan)

Posted by dalila on 07/10/2014 Hits: 24658

TAZKIRAH SRI – SIRI 7 - TAZKIRAH RAMADAN 

ahlan wasah lan ya ramadhan

Dari Abu Hurairah, Ia berkata Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman: ” Semua amal perbuatan anak adam untuk dia kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk- Ku dan Akulah yang akan membalasnya.” Puasa adalah perisai. Apabila seseorang di antara kamu berpuasa, janganlah berkata cabul dan berteriak-teriak. Jika seseorang mencaci maki atau mengajak bertengkar, katakanlah: “ Sesungguhnya aku sedang berpuasa” Demi zat yang jiwa Muhammad SAW di tangan-Nya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah SWT daripada bau minyak kasturi. Bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang dirasakan, iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan kerana bertemu dengan Tuhannya”. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.)

Jika dilihat kepada Hadis ini jelaslah kepada kita tentang kepentingan berpuasa di bulan Ramadan. Kerana Allah SWT telah berjanji akan memberikan ganjaran sendiri kepada hamba-Nya. Disamping itu puasa merupakan benteng kepada diri kita dari melakukan dosa dan maksiat. Nabi SAW juga menjelaskan kepada kita bahawa bau mulut orang yang berpuasa lebih harum dari bau wangian kasturi disisi Allah SWT.

Dan Nabi menjelaskan juga berkaitan orang yang berpuasa akan menikmati dua kegembiraan yang mana kegembiraan yang pertama adalah ketika hendak berbuka setelah seharian kita berpuasa dan menahan segala keinginan nafsu kita sama ada makan minum dan lain-lain. Manakala kegembiraan yang kedua adalah apabila saat bertemu dengan Allah SWT .

Inilah kegembiraan yang paling agung kerana kita dapat mempersembahkan puasa kita kepada Allah SWT dan akhirnya apabila puasa yang kita lakukan benar-benar menepati kehendak Allah SWT maka kita akan dikurniakan syurga dan disuruh oleh Allah SWT untuk masuk ke syurga melalui pintu yang dikhaskan hanya untuk hamba-hamba-Nya yang berpuasa yang dipanggil sebagai Ar Rayyan. Mudah-mudahan kita akan dapat memperolehinya. Amin.

 

Disediakan oleh :

Ust. Mohamad Islah bin Soleh